Thursday, July 19, 2012

Sambutan Bulan Kemerdekaan
Permainan Galah Panjang

Sempena bulan kemerdekaan, sekolah-sekolah sekitar Malaysia mengadakan sambutan bulan kemerdekaan. Pelbagai aktiviti menarik telah dirancang bagi memeriahkan sambutan kemerdekaan ini. Tujuannya hanyalah satu iaitu supaya murid-murid dapat menghayati dan merasai erti kemerdekaan. Namun begitu, setiap tahun aktiviti yang sama sahaja diadakan pada setiap tahun.

Oleh yang demikian, beberapa aktiviti lain boleh diadakan sempena bulan kemerdekaan. Antaranya ialah siaran kemerdekaan. Bagi sekolah-sekolah yang mempunyai alat siaraya yang lengkap, setiap pagi lagu patriotik boleh dimainkan dan perkongsian berkenaan tentang erti kemerdekaan boleh dibuat (seperti siaran radio). Dengan ini, disamping mendengar lagu-lagu patriotik, murid-murid juga secara tidak langsung dikongsikan dengan erti kemerdekaan.

Selain itu, aktiviti seperti permainan tradisional juga boleh diadakan. Murid-murid lebih mudah memahami erti kemerdekaan dan erti cintakan negara melalui permainan. Didapati murid-murid pada hari ini jarang didedahkan dengan permainan tradisional seperti galah panjang dan juga ketingting. Fenomena ini adalah disebabkan oleh arus modenisasi. Anak-anak sekarang tidak lagi mempunyai ruang untuk bermain di luar ketika masa lapang malah mereka juga enggan berbuat demikian kerana mereka sekarang lebih meminati permainan maya (iaitu permainan berkomputer).

Sekiranya, anak-anak sekarang tidak didedahkan dengan permainan tradisional, maka permainan ini suatu hari nanti akan lenyap mengikut peredaran zaman. Yang tinggal hanyalah catatan-catatan mengenai permainan tradisional, tetapi tidak dimainkan atau diaplikasikan. Oleh yang demikian, menjadi tugas dan tanggungjawab guru untuk mendedahkan anak-anak sekarang tentang permainan tradisional ini.

Contoh permainan tradisional

"Tugas guru bukan sekadar mengajar kandungan buku teks, tetapi merangkumi segala aspek kehidupan murid-murid"
~Great teacher Tan~

No comments:

Post a Comment