Monday, May 7, 2012

Kaedah-kaedah Pentaksiran


Rajah 1: Kaedah pentaksiran

Secara umumnya terdapat 3 kaedah pentaksiran iaitu pemerhatian, lisan dan penulisan. Pemerhatian merupakan kaedah pentaksiran yang paling subjektif kerana kaedah ini bergantung kepada sikap peribadi dan emosi seseorang penilai. Sesuatu yang dirasakan baik oleh seseorang penilai tidak semestinya baik bagi seorang penilai yang lain. Oleh yang demikian, kaedah pemerhatian dikatakan merupakan kaedah pentaksiran yang paling tidak adil. Walau bagaimanapun, pemerhatian ini boleh dilakukan melalui tingkah laku murid ataupun sahsiahnya, kemahiran-kemahiran murid dan juga hasil kerja murid seperti lukisan dan buku skrap murid.

Kaedah pentaksiran yang seterusnya adalah kaedah lisan. Pentaksiran secara lisan ini hendaklah dijalankan berdasarkan satu rubrik yang standard supaya keobjektifan kaedah ini dapat dipertingkatkan. Contohnya, rujuk situasi 1 di bawah.


Situasi 2
Rubrik
Azmi menduduki ujian lisan di Miri pada 5 oktober 2010. Azmi hanya berjaya mendapat gred B. Azmi tidak berpuas hati dengan keputusan ujian tersebut kerana berpendapat bahawa penilai tersebut bersikap pilih kasih.

Oleh yang demikian, Azmi mengambil keputusan untuk mengambil ujian tersebut sekali lagi di Miri. Setelah menduduki ujian tersebut, Azmi masih mendapat gred yang sama iaitu B.
Gred
Spesifikasi
A
Calon dapat menerangkan sesuatu dengan jelas dan tepat serta menggunakan gaya badan dan intonasi yang baik dan sesuai.
B
Calon dapat menerangkan sesuatu dengan jelas dan tepat.
C
Calon dapat menerangkan sesuatu dengan jelas tetapi kurang tepat.
Daripada situasi 1 di atas, dapat disimpulkan bahawa ujian lisan yang diduduki oleh Azmi ini mempunyai keobjektifan yang tinggi kerana ujian tersebut ditadbir berdasarkan kepada rubrik yang telah ditetapkan.

Pentaksiran secara lisan ini boleh ditadbir dengan beberapa cara. Antaranya ialah antara murid dengan guru di mana guru akan mengemukakan soalan dan murid menjawab soalan tersebut atau guru memberikan satu tajuk kemudian murid menceritakan tentang tajuk tersebut. Pentaksiran secara lisan juga boleh ditadbir antara murid dengan murid. Ini dijalankan dengan memberi sesuatu tajuk perbincangan kepada murid-murid kemudian murid-murid yang terlibat membincangkan tajuk tersebut. Cara pentaksiran secara lisan yang terakhir adalah murid dengan bahan pembelajaran di mana guru memberikan sesuatu bahan pembelajaran kepada murid contohnya sekeping gambar bersiri dan murid dikehendaki untuk menceritakan gambar tersebut. Kaedah pentaksiran yang ketiga ialah kaedah penulisan. Kaedah penulisan merupakan kaedah pentaksiran yang sering digunakan dan ditadbirkan sebagai peperiksaan di sekolah. Ini kerana kaedah ini merupakan kaedah yang paling mudah ditadbir dan diuruskan. Selain itu, satu jumlah calon yang besar dapat diuji pada satu-satu masa tertentu.


"Tidak kira apakah kaedah pentaksiran yang digunakan, yang penting tindakan susulan dilakukan berdasarkan skor pentaksiran" 
~Great Teacher Tan~

2 comments: