Monday, May 7, 2012

Jenis-jenis Ujian

Rajah 1: Jenis-jenis Ujian

1.0 Ujian Pencapaian

Ujian pencapaian merupakan ujian yang digubal oleh guru untuk mengukur pencapaian murid iaitu sejauh mana seseorang murid dapat menguasai tajuk-tajuk ataupun kemahiran yang telah diajarkan oleh guru. Ujian pencapaian bertujuan untuk menentukan kesediaan murid-murid untuk memulakan tajuk baru dan mengenalpasti masalah yang dihadapi mereka bagi tajuk-tajuk yang diuji. Sekiranya murid-murid belum lagi menguasai tajuk-tajuk yang diuji, maka guru boleh merancang tindakan susulan seperti pemulihan. Ujian pencapaian boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu Ujian Rujukan Norma dan Ujian Rujukan Kriteria.

1.1 Ujian Rujukan Norma

Ujian rujukan norma secara umumnya merupakan ujian perbandingan yang membandingkan keputusan yang diperolehi oleh seseorang pelajar dengan keputusan pelajar yang lain. Ujian ini dibina untuk menghasilkan perbezaan pencapaian yang maksimum di kalangan pelajar. Oleh yang demikian, tahap kesukaran ujian perlu dikawal dengan nisbah soalan mudah, sederhana dan sukar ialah 2.5 : 5 : 2.5. Ujian rujukan norma biasanya menggunakan markah min sebagai rujukan. Ini bermaksud, sekiranya ramai pelajar mendapat skor rendah, maka markah lulus akan rendah juga dan sebaliknya.

Contohnya, merujuk jadual 1 di bawah, terdapat 20 orang calon yang menduduki sesuatu ujian. Didapati ramai murid yang gagal iaitu mendapat markah kurang daripada 50%. Oleh yang demikian, markah lulus akan dikurangkan supaya lebih ramai murid yang lulus. Sekiranya guru inginkan 70% daripada calon tersebut lulus maka markah lulus akan dikurangkan kepada 40%.



Markah
(%)
10-19
20-29
30-39
40-49
50-59
60-69
Bilangan Murid
1
3
2
7
5
2
 Jadual 1: Keputusan ujian

1.2 Ujian Rujukan Kriteria 

Ujian rujukan kriteria bertujuan membandingkan pencapaian pelajar dengan kriteria tertentu. Kriteria yang digunakan tidak bermaksud kemahiran tertinggi yang perlu dikuasai pelajar, tetapi lebih kepada kriteria yang ditetapkan oleh guru.Ujian rujukan kriteria menentukan status pencapaian yang harus dicapai oleh seseorang murid supaya dikira sebagai lulus. Ujian ini adalah terperinci dan mendalam dan tidak semestinya mempunyai indeks diskriminasi yang tinggi. Berbeza dengan ujian rujukan norma, kriterian tertentu akan ditetapkan terlebih dahulu. Contohnya sekiranya 50% adalah markah lulus, markah lulus ini akan kekal walaupun ramai murid yang mendapat markah kurang daripada 50%. Jadual 2 di bawah menunjukkan perbezaan antara ujian rujukan norma dan ujian rujukan kriteria.

Perkara
Ujian Rujukan Norma
Ujian Rujukan Kriteria
Konsep
Ujian yang membandingkan pencapaian pelajar dengan pelajar/ kumpulan pelajar lain.
Ujian yang membandingkan pencapaian pelajar dengan kriteria tertentu yang telah ditetapkan
Tujuan
Membandingkan pencapaian antara pelajar/ kumpulan pelajar
Menentukan pencapaian sama ada lulus/gagal, lemah/sederhana/cemerlang.
Memilih pelajar untuk tujuan pengiktirafan- memberi sijil
Menentukan tahap penguasaan sesuatu kemahiran yang telah dipelejari menghikut kriteria yang ditetapkan
Memperbaiki pengajaran dan pembelajaran berdasar keputusan ujian
Ciri-ciri soalan
Bermula dengan soalan mudah kepada sederhana dan lebih sukar dan mempunyai indeks diskriminasi yang tinggi
Soalan yang hampir sama peringkat kesukaran dengan berpandukan kepada kriteria/ objektif pengajaran tertentu.
Ciri-ciri ujian
Penentuan gred bagi menentukan pencapaian pelajar dalam pelbagai peringkat
Tiada gred, tetapi memadai dengan pernyataan lulus/ gagal sahaja
  Jadual 2: Perbezaan ujian rujukan norma dan ujian rujukan kriteria

2.0 Ujian Kecerdasan

Menurut Azizi Yahaya (2005), Ujian kecerdasan ialah ujian yang cuba mengukur perbezaan antara individu. Butir-butir ujian ini umumnya tertumpu pada kebolehan individu bagi memanipulasikan perkataan dan nombor. Ujian kecerdasan juga dikenali sebagai ujian metal kerana ujian ini juga digunakan untuk mengukur kecerdasan mental seseorang individu atau perbezaan individu. Contoh ujian kecerdasan adalah ujian IQ, Skala Stanford- Binet dan Ujian Lorge Thorndike.

3.0 Ujian Prestasi

Menurut Azizi Ahmad (2009), Ujian prestasi ialah ujian yang digunakan untuk mengukur keupayaan atau kecekapan murid melakukan sesuatu tugas yang melibatkan manipulasi objek yang konkrit. Ujian ini memerlukan murid-murid membuat beberapa tugasan lain sebagai ukuran tambahan. Biasanya, ujian ini melibatkan penggunaan alat yang konkrit seperti penggunaan gambar dan radas, yang tidak semata-mata tertumpu kepada aspek bahasa dan ujian kertas pensel.

Ujian prestasi ini sangat penting terutamanya apabila sebahagian kemahiran pembelajaran murid adalah sukar ditaksir dan diukur dengan menggunakan ujian berasaskan kertas dan pensil. Oleh yang demikian, sebahagian kemahiran khususnya yang melibatkan pertimbangan, pemikiran kritikal dan analitikal serta pembuatan keputusan adalah sesuai ditaksir dengan menggunakan ujian prestasi yang mengukur dan mentaksir kemahiran berkenaan dengan menggunakan teknik dan cara penilaian yang lebih autentik.

Contoh ujian prestasi adalah ujian pada peringkat prasekolah yang meminta murid-murid untuk membina semula gambar dengan lengkap daripada potongan-potongan gambar yang diberikan kepada mereka. Contoh yang lain adalah mereka bentuk geometri daripada blok-blok yang diberikan.

4.0 Ujian Diagnostik

Menurut Zulkifley Hamid (2006), Ujian diagnostik merupakan ujian yang dilaksanakan untuk mengenal pasti masalah-masalah khusus atau yang tertentu yang besar kemungkinan bakal dihadapi oleh murid-murid yang dikategorikan sebagai murid kumpulan pemulihan. Setelah mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh murid-murid, tindakan susulan seperti kelas pemulihan boleh dilaksanakan. Ujian yang berterusan akan terus diberi sepanjang kelas pemulihan dilaksanakan untuk mengenal pasti perubahan dan pencapaian murid-murid yang sedang menjalani pendidikan pemulihan. Untuk ujian diagnostik, tiada skor atau gred diberikan kepada murid-murid.

5.0 Ujian Bakat

Merujuk kepada blog Himpunan Kertas Kerja yang ditulis oleh Prof. Abdullah Hassan (2009), Ujian bakat dalam Bahasa Melayu ialah ujian yang dibentuk bagi mengukur prestasi yang mungkin dicapai oleh murid dalam Bahasa Melayu. Bukan semua orang khusunya orang bukan Melayu, mempunyai bakat untuk mempelajari Bahasa Melayu. Bakat untuk mempelajari bahasa sangat kompleks dan melibatkan berbagai faktor seperti kecerdasan, umur, motivasi kuasa ingatan, kebolehan mengenal pasti bunyi bahasa dan pola-pola tatabahasa. Oleh sebab itu, biasanya ujian bakat dirancang untuk menguji kemahiran-kemahiran khusus yang ingin diuji, umpamanya kemahiran bertutur. 

6.0 Ujian Personaliti
 
Menurut Shertzer dan Linden (Sidek, 1998) dipetik dari Malek Muhamat Said (2006), ujian personaliti ialah alat bagi menentukan sejauh mana orang itu mempunyai trait-trait atau ciri-ciri lain dengan mengukur sejauh mana samanya gerak balas yang diberi dengan kumpulan-kumpulan rujukan yang mempunyai trait-trait atau ciri-ciri berkenaan.

Ujian personaliti ini digunakan bagi mengukur aspek-aspek yang berkaitan dengan kriteria personal, pemikiran, perasaan dan tingkah laku iaitu yang berkaitan dengan pelarasan dan pembawaan. Aspek-aspek ini diukur melalui alat-alat psikologi yang berbentuk ujian, inventori, indikator atau indeks. Terdapat tiga alat yang dapat digunakan untuk mengukur personaliti pelajar iaitu inventori laporan kendiri (apa pelajar kata tentang dirinya); inventori sosiomerik (apa yang pelajar lain/ orang lain kata tentang seseorang pelajar); dan teknik pemerhatian (apa yang dibuat oleh pelajar dalam situasi tertentu. Contoh ujian personaliti adalah seperti Rajah 2 di bawah:
Rajah 2: Contoh ujian personaliti
Tidak ada jawapan yang betul ataupun salah dalam ujian personaliti, calon yang menjawap ujian personaliti dikehendaki untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukan dengan sejujurnya agar keputusan ujian tersebut dapat menggambarkan setepatnya tentang personaliti calon tersebut.

7.0 Ujian Kefasihan

Ujian kefasihan merupakan satu ujian yang dirancang bertujuan untuk menentukan setakat mana seseorang itu mengetahui dan menguasai sesuatu bahasa secara keseluruhan. Ujian kefasihan secara umumnya digunakan untuk menempatkan seseorang dlam kumpulan pembelajaran yang sesuai dengan pengetahuan dan kebolehan mereka. Ini adalah sangat penting supaya pengajaran Bahasa Melayu dapat dijalankan mengikut tahap kebolehan dan kefasihan murid. Misalnya, mengajar kemahiran menulis kepada murid yang tidak membaca adalah sia-sia. Oleh yang demikian, mereka perlu diajar dengan kaedah dan strategi yang berbeza.

"Pengetahuan tentang pedagogi semata-mata adalah satu pembaziran sekiranya tidak diaplikasikan dalam pengajaran"
~Great Teacher tan~ 

1 comment: