Friday, May 4, 2012

Konsep Pentaksiran

Menurut Azizi Ahmad Mohd Isa Awang dalam bukunya Pengukuran dan Penilaian Pendidikan muka surat 23, pentaksiran merupakan satu proses mendapatkan maklumat untuk membuat pertimbangan tentang produk sesuatu pendidikan.

Lembaga Peperiksaan Malaysia (2000) dalam artikelnya, Pentaksiran dan Penilaian dalam Pendidikan Khas, mentakrifkan pentaksiran sebagai suatu proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod (pengujian), memberikan skor atau markah (pengukuran) dan menterjemah maklumat (penilaian) tentang pembelajaran seseorang murid bagi tujuan tertentu. Daripada penerangan ini, kita boleh mengatakan bahawa pentaksiran merangkumi pengujian, pengukuran dan penilaian.

Rajah 1: Perhubungan antara pentaksiran, penilaian, pengukuran dan pengujian

Daripada rajah 1 di atas, dapat disimpulkan bahawa pengujian, pengukuran dan penilaian adalah di dalam pentaksiran. Oleh yang demikian, untuk mendalami konsep pentaksiran, pemahaman konsep pengujian, pengukuran dan penilaian adalah amat penting sekali. 

Menurut Gay (1985) dipetik daripada Ee Ah Meng (2002), berpendapat bahawa penilaian ialah satu proses yang dianggap bersistem semasa mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang ditetapkan itu telah tercapai. Hal ini membolehkan guru membuat keputusan tepat berhubung dengan pengajaran dan pembelajarannya.

Penilaian mengandungi aspek pengujian, pengukuran, penganalisisan dan penyimpulan. Prosedur penilaian ini boleh dilaksanakan dalam lima peringkat yang dihuraikan secara ringkas seperti rajah 2 berikut.
Rajah 2: Prosedur Penilaian
Berdasarkan kepada rajah 2 di atas, pengujian dan pengukuran merupakan aktiviti-aktiviti utama dalam penilaian. Untuk menjalankan penilaian, seseorang guru perlulah terlebih dahulu melaksanakan pengujian dan kemudiannya memeriksa dan mengukur tahap pencapaian muridnya. Setelah data pencapaian murid didapati barulah guru tersebut boleh menjalankan penilaian terhadap pencapaian muridnya sama ada murid tersebut lemah, sederhana, baik ataupun cemerlang. Kemudian, guru akan merancang tindakan susulan untuk membantu murid-muridnya meningkat prestasi mereka.
Menurut Azizi Ahmad (2009), Pengukuran bermaksud satu proses mendapatkan maklumat secara numerik atau melalui angka tentang sebanyak mana individu atau murid mempunyai sesuatu ciri yang diukur dengan menggunakan suatu instrumen.
Hasil pengukuran hanya merupakan penentuan status atau tahap yang tidak mempunyai nilai. Contohnya, Ali mendapat 70 peratus dalam ujjian Kajian Tempatan, kita tidak menyatakan sama ada prestasi Ali ini baik atau tidak. Pengukuran ini dilaksanakan tanpa nilai seperti yang diterangkan dalam rajah 3 di bawah.
Rajah 3: Konsep pengukuran
Pengukuran tidak bersifat mutlak. Pengukuran ketinggian mental seseorang adalah sukar dan tidak dapat dilakukan dengan menggunakan alat ukur yang tepat seperti pembaris. Oleh yang demikian, kita tidak boleh menganggap murid yang mendapat skor 90 itu adalah dua kali ganda lebih pandai daripada murid yang hanya mendapat skor 45. Sementara seseorang yang mendapat skor sifar juga tidak boleh dianggap sebagai tidak mempelajari sebarang perkara atau tidak memahami sebarang perkara tentang sesuatu pelajaran yang dilalui.
Antara keempat-empat istilah, pengujian boleh dikatakan mendukung maksud yang labih sempit atau khusus. Menurut Cronbach, ujian ialah satu prosedur yang bersistem untuk memerhati perlakuan atau tingkah laku seseorang individu dan membuat huraian dengan bantuan skala bernombor atau satu sistem yang berkategori.
Ini dikukuhkan lagi oleh Azizi Ahmad Mohd Isha Awang (2008) yang menegaskan bahawa:


Ujian adalah suatu cara untuk mendapatkan contohan perlakuan yang diperlihatkan oleh murid dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan. Maklumat yang diperoleh daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian atau pengadilan. 
(Azizi, 2008; 4).

Proses pengujian lazimnya bermula dengan perancangan ujian, diikuti oleh pentadbiran ujian dan berakhir dengan pemeriksaan skrip jawapan murid seperti yang ditunjukkan dalam rajah 4 di bawah. Melalui proses pengujian ini, guru boleh mengetahui kedudukan dan prestasi serta penguasaan murid terhadap tajuk-tajuk yang diuji. Ini membolehkan guru menempatkan murid-murid mengikut kumpulan dalam bilik darjah untuk memudahkan pengajaran.

Rajah 3: Proses pengujian

Kesimpulannya, pentaksiran merupakan suatu proses yang merangkumi penyediaan dan perlaksanaan ujian (Pengujian), penyemakan dan memberi skor (Pengukuran) dan menterjemah maklumat atau jawapan (Penilaian). Pentaksiran, penilaian, pengukuran dan penilaian mempunyai definisi dan makna yang tersendiri namun keempat-empat konsep ini adalah saling berhubungkait antara satu sama lain dan tidak boleh dipisahkan.

"Guru tidak akan tahu kejayaannya dalam menyampaikan isi pelajaran, melainkan dia membuat pentaksiran"
~Great Teacher Tan~

2 comments:

  1. thanks, credit to you...I'm taking for my work ^^
    don't worry, not a copy paste, just a copy..lol

    ReplyDelete
  2. Salam sejahtera cikgu Tan...

    Terima kasih atas perkongsian informasi... teruskan usaha yang baik ini....

    ReplyDelete