Saturday, May 5, 2012

Prinsip-prinsip Pentaksiran


Rajah 1: Prinsip-prinsip pentaksiran
Seperti dalam rajah 1 di atas, prinsip-prinsip pentaksiran adalah berkaitan antara satu sama lain. Contohnya instrumen yang disediakan hendaklah sesuai dengan kumpulan murid yang ditaksir. Ini adalah sangat penting kerana aras kognitif murid-murid adalah berbeza mengikut tahun persekolahan. Oleh yang demikian, adalah amat tidak relevan sekiranya kertas soalan tahun 5 diberikan kepada murid-murid tahun 3 dan sebagainya.

Instrumen merupakan prinsip pentaksiran yang pertama. Ini disebabkan oleh, pentaksiran tidak dapat dijalankan tanpa satu instrumen ataupun satu alat untuk menguji pencapaian dan pemahaman murid. Instrumen yang digunakan dalam pentaksiran Bahasa Melayu adalah satu set kertas soalan yang telah disediakan berdasarkan kepada Jadual Spesifikasi Ujian (JSU) yang lengkap dan mencakupi semua kemahiran yang hendak diuji.

Prinsip pentaksiran yang kedua ialah kumpulan yang ditaksir. Kumpulan yang ditaksir merujuk kepada kumpulan murid-murid yang hendak diuji. Kumpulan yang ditaksir ini perlu ditentukan dahulu dari segi tahun persekolahan mereka dan skop pengetahuan mereka. Ini adalah sangat penting supaya instumen yang disediakan adalah relevan dan menepati tujuan pentaksiran. Contohnya, sila rujuk situasi 1 di bawah.


Situasi 1
"Cikgu Rahman ingin menjalankan pentaksiran terhadap murid-muridnya. Terlebih dahulu Cikgu Rahman menentukan tahun persekolahan murid-muridnya iaitu tahun 4. Selain menentukan tahun persekolahan murid-muridnya, beliau juga perlu menetapkan skop pengetahuan murid-muridnya iaitu apakah tajuk-tajuk yang telah disampaikan dan apakah kemahiran-kemahiran yang sepatutnya telah dikuasai oleh mereka untuk suatu tempoh persekolahan (pertengahan  semester, satu semester, setelah satu kemahiran dan sebagainya)."

Prinsip pentaksiran yang ketiga ialah respons. Respons merujuk kepada hasil pengujian iaitu jawapan-jawapan yang telah diberikan oleh murid-murid di dalam kertas ujian mereka. Respons-respons murid memainkan peranan yang sangat penting di dalam pentaksiran kerana respons-respons ini mengandungi data-data ataupun maklumat-maklumat tentang pencapaian murid-murid untuk suatu tempoh persekolahan; penguasaan murid-murid tentang satu-satu tajuk atau kemahiran; dan juga keberkesanan strategi yang digunakan oleh guru.

Prinsip pentaksiran yang keempat ialah kumpulan yang mentaksir. Kumpulan yang mentaksir biasanya merujuk kepada guru-guru yang menyemak skrip jawapan dan juga mereka yang menganalisis skrip jawapan ataupun respons-respons yang telah diberikan oleh murid-murid. Sebaik-baiknya, kumpulan guru yang mentaksir skrip jawapan ini terdiri daripada guru-guru neutral iaitu guru-guru yang tidak mengenali kumpulan murid yang ditaksir. Dengan ini barulah skor yang diperolehi itu adalah lebih tepat dan menggambarkan keupayaan dan tahap penguasaan murid-murid yang sebenar.

Prinsip pentaksiran yang terakhir ialah skor. Skor merupakan data numerik yang diperolehi daripada analisis respons-respons yang diberikan oleh murid-murid. Dengan kata lain, hasil pentaksiran dinyatakan dalam bentuk skor. Daripada skor inilah guru dapat mengetahui pencapaian dan tahap penguasaan murid terhadap satu-satu kemahiran atau tajuk pelajaran. Skor ini juga digunakan oleh guru-guru untuk menganalisis secara lebih terperinci tentang pencapaian dan tahap penguasaan murid-murid.


"Pentaksiran yang baik menentukan kesahan dan kebolehpercayaan skor yang diperoleh"
~Great Teacher Tan~

3 comments:

  1. terima kasih utk ilmu yg dikongsi. Rajin berjalan yer cikgu ~

    ReplyDelete
  2. terima kasih atas maklumat yang berguna.

    ReplyDelete
  3. tq cikgu atas penerangan yang diberi.

    ReplyDelete