"penyelidikan tindakan pada asalnya memang terlaksana secara tidak langsung dalam sesi P&P harian kita tanpa disedari"
Beban tugas yang berat sering menjadi alasan kepada guru-guru untuk tidak melaksanakan penyelidikan tindakan. Walaupun memang tidak dapat dinafikan bahawa guru-guru pada hari ini mempunyai tugas-tugas dan tanggungjawab lain selain daripada mengajar seperti penganjuran hari sukan, kelas tambahan di sekolah dan sebagainya.
Namun begitu, pada pendapat saya, penyelidikan tindakan bukanlah sesuatu yang membebankan malah penyelidikan tindakan tidak akan menambahkan beban kita yang sedia ada. Ini kerana penyelidikan tindakan pada asalnya memang terlaksana secara tidak langsung dalam sesi P&P harian kita tanpa disedari.
Setiap hari kita mengajar murid-murid yang mempunyai pelbagai karenah dengan potensi dan keistimewaan masing-masing. Oleh itu, kita sudah tentu akan menghadapi halangan dan masalah dalam memenuhi keperluan kognitif, emosi, jasmani dan rohani setiap orang murid di dalam kelas tertentu. (Tinjauan awal)
Model Penyelidikan Tindakan Stephen Kemmis
Apabila wujudnya masalah, secara tidak langsung, kita sebagai guru yang prihatin terhadap perkembangan murid-murid akan mula merancang kaedah-kaedah yang sesuai bagi mengatasi masalah yang dihadapi. (Peringkat Perancangan)
Kemudian, kita akan mula melaksanakan kaedah-kaedah yang dirancang itu bagi mengatasi masalah yang dihadapi. (Peringkat perlaksanaan) Pada masa yang sama kita juga akan memerhatikan gerak-geri dan respon murid-murid terhadap kaedah tersebut (Peringkat pemerhatian) bagi membantu kita menilai keberkesanan kaedah tersebut dalam mengatasi sesuatu masalah yang dihadapi dalam P&P.
Sekiranya kaedah itu didapati kurang sesuai atau tidak berkesan, kita akan merancang kaedah lain yang lebih sesuai. (Peringkat Penilaian) Kaedah ini akan dilaksanakan dan dinilai semula sehinggalah masalah itu berjaya diselesaikan.
Daripada contoh itu tadi, kita dapat lihat bahawa sebenarnya kita sebagai guru sering melaksanakan penyelidikan tindakan di dalam amalan P&P harian kita tanpa kita sedari, hanya amalan tersebut tidak didokumentasikan sebagai "Laporan Penyelidikan Tindakan".
Oleh yang demikian, sebenarnya kita tidak perlu meluangkan banyak masa dalam melaksanakan penyelidikan tindakan. Kita hanya perlu meluangkan sedikit masa iaitu sebanyak kira-kira 30minit sehari dalam menulis dan mendokumentasikan amalan P&P harian kita secara lebih formal sebagai "Laporan Penyelidikan Tindakan"
Apa tunggu lagi, guru-guru muda DG41 yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perguruan? Marilah kita sama-sama melaksanakan Penyelidikan Tindakan untuk meningkatkan lagi kualiti pengajaran dan pembelajaran kita di dalam kelas dan seterusnya meningkatkan lagi kualiti pendidikan di negara kita.
"Guru memperbaiki amalan pengajaran dan pembelajarannya melalui Penyelidikan Tindakan"
No comments:
Post a Comment