Wednesday, July 25, 2012

Bahan Bantu Mengajar (BBM) dalam PSV?

"Saya demonstrasikan penghasilan poster di dalam kelas supaya murid-murid faham tentang cara penghasilan poster yang berkualiti"
~Great Teacher tan~
Poster "Ke Puncak Kegemilangan"

Bahan bantu mengajar merupakan alat ataupun media yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran seseorang guru bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan penyampaian isi pelajaran.

Bahan bantu mengajar dalam Pendidikan Seni Visual tidak lain tidak bukan ialah contoh karya seni yang bakal dihasilkan oleh murid-murid. Contoh karya seni ini bertujuan untuk memberikan gambaran dan idea kepada murid-murid bahawa "Beginilah rupa karya seni yang harus saya hasilkan".

Contoh karya seni ini memainkan peranan yang lebih penting lagi dalam seni menggambar. Contohnya menggambar sebuah poster bertemakan "kemerdekaan". Semua murid berupaya untuk menghasilkan poster yang bertemakan "kemerdekaan". Namun begitu, bukan semua murid mampu menghasilkan karya seni yang berkualiti (yang mempunyai elemen-elemen seperti ton warna, ruang, perspektif dan sebagainya).

Oleh yang demikian, sekiranya satu contoh karya seni yang mempunyai elemen-elemen ini ditunjukkan kepada murid-murid, sekurang-kurangnya mereka mengetahui dan memahami kepentingan elemen-elemen ini di dalam hasil karya mereka.
 Poster "Malaysia Boleh"

Adalah lebih baik lagi sekiranya guru boleh menunjukkan proses penghasilkan sesebuah karya seni yang berkualiti ini di dalam kelas PSV iaitu ketika murid-murid menghasilkan karya seni masing-masing. Pertama, murid-murid dapat melihat sendiri bagaimana guru menghasilkan sesuatu elemen (seperti ton warna, perspektif) di dalam karya seni yang dihasilkannya. Kedua, guru dapat menerangkan kepentingan sesuatu elemen (seperti ton warna, ruang, perspektif dan sebagainya dalam sesebuah karya seni).

Kesimpulannya, bahan bantu mengajar juga sama pentingnya di dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan seni Visual.

"Kalau diterangkan, murid kabur. Kalau ditunjukkan, murid tahu. Kalau didemonstrasikan, murid faham"
~Great Teacher Tan~

2 comments: