Monday, May 6, 2013

LAGENDA LAMBIR


Pada suatu masa dahulu, Lambir didiami oleh sejenis makhluk yang separuh manusia dan separuh ular tedung yang digelar sebagai Naga. Naga merupakan makhluk ghaib yang amat berkuasa dan berpengaruh dalam sejarah manusia. Setiap gunung dan bukit di Lambir adalah kepunyaan ratu Naga (Queen Cobra).

Ratu Naga merupakan pemerintah kepada seluruh hierarki hantu-hantu dan juga haiwan-haiwan di Lambir. Dalam pelbagai aspek, ratu-ratu ini merupakan penjaga Bumi Lambir ini. Ratu-ratu naga ini dikatakan merupakan rakan baik kepada Buddha kasih Sayang.
 
Kemunculan Ratu Naga akan memberikan kuasa dan kecantikan kepada orang yang menjumpainya. Namun begitu, Ratu Naga ini memerlukan korban manusia untuk sebagai pertukaran kepada kuasa dan kecantikan yang diberikannya.
 
Menurut lagenda, Terdapat dua Naga yang tinggal di bawah tasik air terjun latak. Salah satunya menyerupai kura-kura gergasi manakala satu lagi menyerupai ular sawa. Tasik ini sedalam 21 kaki dan kira-kira 7 kaki di bawah aras air terdapat sebuah gua ajaib yang berhubung ke dalam gunung Lambir.
Sesesiapa yang dapat melihat gua tersebut dan masuk ke dalamnya akan diberi kuasa yang tidak terhingga. Namun, hanya orang yang berhati suci sahaja dapat melihat dan memasukinya. Selain itu, gua ini juga mempunyai penjaganya iaitu seekor naga api dan seekor ular tedung.
Pada suatu hari, seorang pahlawan Iban bernama Sardong telah kalah dalam peperangan dan melarikan diri sampai ke Lambir. Beliau amat letih kerana sudah berlari amat jauh. Sardong ini pun meminum air daripada tasik air terjun Latak ini. Semasa meminum air daripada tasik ini, tiba-tiba beliau ternampak cahaya di bawah tasik itu.
Beliau berasa amat curiga dan telah menyelam ke bawah tasik tersebut dan ternampak sebuah gua di bawah tasik tersebut. Tanpa berfikir panjang, beliau terus masuk ke dalam gua tersebut. Semasa di dalam gua tersebut, beliau terserempak dengan seekor naga berwarna emas dan sedang berapi dihadapannya. Naga itu terus berkata, “berani engkau mencerobohi gua ajaib ini, orang yang masuk ke dalam gua ini tidak boleh dibiarkan hidup”. Naga itu terus menerpa ke arah Sardong. Namun begitu, pahlawan iban yang sudah keletihan itu, tidak lagi berdaya untuk mengelak atau mempertahankan diri. Dia terus berdiri di situ tanpa bergerak walau sedikitpun.
 
Api daripada badan naga itu terus membakar Sardong lalu beliau pun jatuh ke Bumi dan terbaring kaku di sana. Tiba-tiba beliau berasa seperti badannya penuh bertenaga dan dia pun bangun dan berdiri. Api yang sedang membakar dirinya itu tidak lagi terasa panas malah sejuk. Tiba-tiba Naga itu pun berkata “dirimu yang gagah berani dan tidak mengelak daripada seranganku telah memberikanmu kuasa aku iaitu api”.
Pahlawan Iban itu meneruskan perjalanannya ke dalam gua itu. Kali ini, dia terserempak pula dengan ular tedung gergasi, penjaga gua yang kedua. Penjaga itu pun berkata “Wahai, pahlawan yang berani, bertarunglah denganku, kalau engkau menang kau boleh dapat kuasaku dan meneruskan perjalanan bertemu dengan Ratu Naga. Jika engkau kalah, nyawa engkau aku yang punya”. Lepas itu, ular tedung itu terus melilit pahlawan Iban itu. Pahlawan Iban itu tidak dapat bergerak kerana lilitan ular tedung itu amat kuat sehingga beliau terasa seperti tulangnya hampir hancur. 
Dalam pergelutan itu, tiba-tiba badan Sardong itu terbakar seperti api terkeluar daripada badannya. Ular Tedung yang kepanasan itu terpaksa melepaskannya dan mengaku kalah kerana tidak dapat menewaskan Sardong. Seperti yang dijanjikan, ular tedung itu memberikan kuasanya iaitu kekuatan kepada Sardong.
 
Beliau meneruskan perjalanan bertemu dengan Ratu Naga. Ratu Naga amat kagum dengan Bumi Begegar Langit Berkilat kerana berjaya bertemu dengannya lalu memberikan sebidang tanah kepada Sardong dan menjadikannya pemerintah kepada seluruh makhluk dan haiwan yang terdapat di atas tanah tersebut. Setelah keluar daripada gua tersebut, Sardong kembali mencari musuh-musuhnya bagi membebaskan rakan-rakannya yang tertawan. Dengan menggunakan kuasanya, beliau dapat mengalahkan musuhnya dengan amat mudah dan membebaskan rakan-rakannya. Beliau bersama-sama rakan-rakannya terus menetap di Lambir.

1 comment:

  1. Dihasilkan oleh murid-murid tahun 4 SK Lambir 2010.

    ReplyDelete