Monday, May 28, 2012

Musical Chairs dalam P&P

"If you give me a fish, I can eat for one meal. If you teach me how to fish, I can eat for my whole live"

Gambarajah 1: Musical Chairs

Pendidikan pada hari ini telah bertukar arah daripada berpusatkan guru kepada berpusatkan murid. Ini adalah supaya murid-murid dapat meneroka dan menimba ilmu sendiri dengan bimbingan guru.

Oleh yang demikian, sebagai pembimbing/ fasilitator yang berkesan, guru-guru berperanan untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang menyeronokan agar murid-murid dapat menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam persekitaran yang kondusif (di mana kecerdasan emosi juga dikembangkan).

"Musical Chairs" merupakan satu aktiviti/ permainan yang sering dijalankan semasa majlis hari jadi murid-murid dan sebagainya. Namun begitu, "Musical Chairs" juga boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran. Contohnya seperti Rancangan Pengajaran dan Pembelajaran di bawah.

Tema: Diri dan keluarga
Tajuk: Kasih Sayang Terhadap keluarga
Objektif: Pada akhir P&P ini murid-murid dapat:
  1. Menyatakan kepentingan kasih sayang dalam keluarga
  2. Menyatakan aktiviti-aktiviti yang boleh dilaksanakan dalam memupuk kasih sayang.
Aktiviti:
  1. Perbincangan
  2. Muzikal Chairs
  3.  Soal jawab
 
 Cara Perlaksanaan "Musical Chairs"
  1. Sebilangan kerusi disusun dalam bentuk bulatan (dengan setiap kerusi menghadap ke luar bulatan).
  2. Bilangan kerusi= bilangan pemain - 2.
  3. Murid-murid berdiri mengelilingi bulatan kerusi yang telah disusun.
  4. Murid-murid bergerak mengikut arah jam apabila muzik dimainkan.
  5. Apabila muzik diberhentikan mereka perlu duduk di atas kerusi tersebut dan 2 orang murid yang tidak dapat duduk dikehendaki untuk mengucapkan "I Love You" kepada satu sama lain.
  6. Langkah 4 dan 5 diulangi untuk beberapa pusingan (tanpa sesiapa disingkirkan).
  7. Untuk menghangatkan permainan, pusingan penyingkiran dimulakan di mana setiap murid yang tidak dapat duduk di atas kerusi semasa muzik diberhentikan akan disingkirkan.
  8. Sekiranya terdapat murid disingkirkan, sekurang-kurangnya 1 kerusi perlu dikeluarkan.
  9. Langkah 7 dan 8 diulangi sehingga johan dikenalpasti.

*Permainan ini amat menyeronokan apabila 2 orang murid yang berlainan jantina terpaksa mengucapkan "I Love You". Mereka menunjukkan perasaan segan dan malu serta gelagat yang melucukan. (Perhatian: Guru hendaklah menjelaskan maksud "LOVE" kepada murid-murid semasa membuat kesimpulan untuk mengelakkan salah faham daripada permainan itu).

*Permainan ini juga sesuai diaplikasikan dalam mata pelajaran lain seperti Bahasa Melayu, Kajian Tempatan dan sebagainya bergantung kepada kesesuaian tajuk yang diajar.


"Semasa aktiviti "Musical Chairs", saya juga turut serta bermain permainan ini bersama-sama dengan murid-murid dan saya dapati hubungan kami menjadi rapat"
~Great Teacher Tan~

Friday, May 25, 2012

Tiada masa melaksanakan penyelidikan tindakan?

"penyelidikan tindakan pada asalnya memang terlaksana secara tidak langsung dalam sesi P&P harian kita tanpa disedari"
 
 
Beban tugas yang berat sering menjadi alasan kepada guru-guru untuk tidak melaksanakan penyelidikan tindakan. Walaupun memang tidak dapat dinafikan bahawa guru-guru pada hari ini mempunyai tugas-tugas dan tanggungjawab lain selain daripada mengajar seperti penganjuran hari sukan, kelas tambahan di sekolah dan sebagainya.
 
Namun begitu, pada pendapat saya, penyelidikan tindakan bukanlah sesuatu yang membebankan malah penyelidikan tindakan tidak akan menambahkan beban kita yang sedia ada. Ini kerana penyelidikan tindakan pada asalnya memang terlaksana secara tidak langsung dalam sesi P&P harian kita tanpa disedari.
 
Setiap hari kita mengajar murid-murid yang mempunyai pelbagai karenah dengan potensi dan keistimewaan masing-masing. Oleh itu, kita sudah tentu akan menghadapi halangan dan masalah dalam memenuhi keperluan kognitif, emosi, jasmani dan rohani setiap orang murid di dalam kelas tertentu. (Tinjauan awal)
 
Model Penyelidikan Tindakan Stephen Kemmis
 
Apabila wujudnya masalah, secara tidak langsung, kita sebagai guru yang prihatin terhadap perkembangan murid-murid akan mula merancang kaedah-kaedah yang sesuai bagi mengatasi masalah yang dihadapi. (Peringkat Perancangan)

Kemudian, kita akan mula melaksanakan kaedah-kaedah yang dirancang itu bagi mengatasi masalah yang dihadapi. (Peringkat perlaksanaan) Pada masa yang sama kita juga akan memerhatikan gerak-geri dan respon murid-murid terhadap kaedah tersebut (Peringkat pemerhatian) bagi membantu kita menilai keberkesanan kaedah tersebut dalam mengatasi sesuatu masalah yang dihadapi dalam P&P.

Sekiranya kaedah itu didapati kurang sesuai atau tidak berkesan, kita akan merancang kaedah lain yang lebih sesuai. (Peringkat Penilaian) Kaedah ini akan dilaksanakan dan dinilai semula sehinggalah masalah itu berjaya diselesaikan.

Daripada contoh itu tadi, kita dapat lihat bahawa sebenarnya kita sebagai guru sering melaksanakan penyelidikan tindakan di dalam amalan P&P harian kita tanpa kita sedari, hanya amalan tersebut tidak didokumentasikan sebagai "Laporan Penyelidikan Tindakan".

Oleh yang demikian, sebenarnya kita tidak perlu meluangkan banyak masa dalam melaksanakan penyelidikan tindakan. Kita hanya perlu meluangkan sedikit masa iaitu sebanyak kira-kira 30minit sehari dalam menulis dan mendokumentasikan amalan P&P harian kita secara lebih formal sebagai "Laporan Penyelidikan Tindakan"
 
Apa tunggu lagi, guru-guru muda DG41 yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perguruan? Marilah kita sama-sama melaksanakan Penyelidikan Tindakan untuk meningkatkan lagi kualiti pengajaran dan pembelajaran kita di dalam kelas dan seterusnya meningkatkan lagi kualiti pendidikan di negara kita.

"Guru memperbaiki amalan pengajaran dan pembelajarannya melalui Penyelidikan Tindakan"

Monday, May 14, 2012

Waist Band Amplifier Dalam Dunia Pendidikan

Review: Waist Band Amplifier

Pernahkah kita sebagai guru tertanya-tanya, mengapakah murid-murid bising ketika pengajaran berlangsung? Adakah disebabkan oleh mereka tidak menumpukan perhatian atau adakah disebabkan pengajaran tidak menarik?

Ya, kedua-dua sebab di atas merupakan antara faktor murid-murid bising. Namun, setelah mengajar selama kira-kira 5 bulan sebagai guru tetap, saya mendapati satu lagi faktor murid-murid membuat bising iaitu mereka terlalu melibatkan diri  dalam pengajaran guru yang menarik serta berasa seronok dan "excited".

Apabila murid-murid berasa seronok secara tidak langsung, mereka akan mula lupa diri dan memberikan pendapat dan pandangan serta menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh guru secara tidak teratur. Seterusnya menyebabkan suasana bising di dalam kelas.

Apabila keadaan ini berlaku, patutkah guru menghentikan pengajarannya sebentar bagi mengawal kelas? Ramai guru akan memberikan jawapan "YA" kerana tidak dapat mengajar dalam suasana kelas yang bising (suara tidak cukup kuat untuk didengar murid-murid).

Namun begitu, bukankah murid-murid patut diberi peluang untuk belajar dalam suasana yang lebih seronok? Ini kerana dalam suasana di mana murid-murid seronok dan "enjoy" dengan pengajaran guru, mereka dipercayai dapat menerima input (isi pelajaran) yang disampaikan oleh guru dengan lebih berkesan.

Tetapi dalam suasana bising, bagaimanakah guru dapat memastikan suaranya jelas kedengaran oleh murid-muridnya? Dalam hal ini, guru boleh bergantung kepada teknologi seperti Waist Band Amplifier untuk didengari oleh murid-murid yang bising kerana seronok dengan pengajarannya.

Audio2000's AWP6202 Waist-Band Portable PA Amplifier  System with Headset Microphone merupakan sejenis Portable Speaker yang lebih murah berbanding dengan jenama lain yang terdapat di pasaran. Portable Speaker lain  yang terdapat di pasaran dijual dengan harga kira-kira RM250 seunit.

Di amazon.com, Audio2000's AWP6202 Waist-Band Portable PA Amplifier  System with Headset Microphone hanya dijual dengan harga RM99 (RM207 termasuk shipping).

"Saya bukanlah peniaga, saya hanya berkongsi maklumat"

"Adalah lebih baik murid-murid bising tetapi melibatkan diri dalam secara aktif daripada diam tetapi mengangtuk di dalam kelas"

~Great Teacher Tan~

Saturday, May 12, 2012

Meningkatkan Martabat Guru dengan "Kad Nama"

"Guru mendidik manusia untuk menjadi manusia"
~Great Teacher Tan~

Kad nama merupakan satu dokumen pengenalan diri yang digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang pekerjaan yang lain sama ada dalam sektor swasta atau sektor awam.
Dalam sesuatu majlis, kita dapat lihat bahawa ramai ahli profesional seperti peguam, doktor dan sebagainya memperkenalkan diri dengan menggunakan kad nama. Kad nama ini telah menjadi seperti satu tanda "kebanggaan seseorang itu terhadap profesion yang diceburinya".
Dalam hal ini, jarang-jarang kita lihat bahawa guru-guru memperkenalkan diri menggunakan kad nama, sedangkan, profesion perguruan telah mendapat taraf yang setanding dengan profesion-profesion yang lain. Ini memberikan satu implikasi sama ada guru-guru terlalu merendah diri ataupun guru-guru tidak mempunyai perasaan bangga menjadi guru.
Oleh yang demikian, pada pendapat saya, guru-guru harus memiliki kad nama sendiri sebagai satu langkah bagi meningkatkan lagi profesionalisme dan martabat perguruan. Berikut merupakan contoh kad nama saya:
 
Gambarajah 1: Contoh Kad Nama GTT

Rakan-rakan guru yang saya hormati sekalian, alangkah seronoknya sekiranya semua kita mempunyai kad nama seperti ini? Sekurang-kurangnya sewaktu pertukaran kad nama dalam sesuatu majlis, kita juga mempunyai kad nama untuk ditukar.

Sekiranya anda berminat dengan kad nama ini, sila hubungi saya:
Nama: Tan Kan Tsai
Email: kan_dragon@live.co.uk
*Saya akan email softcopy sampel kad nama ini dalam bentuk microsoft word kepada anda secara free.
*Edit kad nama tersebut dan print dalam kertas yang sesuai.
"Marilah kita sama-sama meningkatkan profesionalisme dan martabat perguruan"