Thursday, August 9, 2012

Adakah bakat dimiliki secara semula jadi atau melalui latihan?

 "Guru berperanan memberi galakkan kepada murid-murid yang berbakat dan membimbing mereka ke arah yang baik"


kadang-kadang saya sendiri tertanya-tanya sama ada bakat itu dimiliki oleh seseorang secara semula jadi iaitu seseorang itu lahir dengan bakat tertentu dalam sesuatu bidang ataupun bakat itu dipelajari.

 Sesetengah murid tidak dapat mempelajari sesuatu kemahiran tertentu dalam Pendidikan Seni Visual terutamanya kemahiran yang berkaitan dengan menggambar walaupun dibimbing serta diajar berkali-kali. Manakala sesetengah murid dapat menghasilkan sesuatu karya yang baik tanpa perlu sebarang bimbingan daripada guru seperti kemahiran itu memang sudah lama berada di dalam dirinya sendiri.

Apakah pandangan anda?

Kad Hari Raya dengan Pop-ups

"Setiap karya seni hendaklah dihargai kerana setiap karya seni yang dihasilkan adalah sesuatu yang baru yang tidak pernah wujud di dunia ini sebelum ini."
~Great Teacher Tan"
 
 
Pendidikan Seni Visual

Tajuk: Kad Hari Raya

Pandangan hadapan Kad Hari Raya

Kad Hari Raya merupakan sesuatu yang sering dilihat serta dihasilkan oleh murid-murid di sekolah dalam Pendidikan Seni Visual terutamanya apabila Hari Raya Aidilfitri semakin dekat.

Guru-guru akan meminta murid-murid menghasilkan kad Hari Raya untuk dihadiahkan kepada ibu bapa, guru-guru dan rakan mereka. Namun begitu, oleh kerana murid-murid menghasilkan kad Hari Raya pada setiap tahun, maka karya seni ini sudah menjadi sesuatu yang biasa dan mereka juga kurang berminat untuk menghasilkannya lagi.

Oleh yang demikian, guru-guru boleh membawa perubahan sedikit dengan menambahkan "Pop-ups" pada kad Hari Raya itu untuk menjadikannya lebih kreatif dan menarik. Sesuatu yang baru kepada murid-murid seperti "Pop-ups" semestinya akan dapat menarik minat mereka.

 Pandangan Sisi 1

Pandangan Sisi 2

"Hanya manusia sahaja yang mempunyai kreativiti untuk menghasilkan sesuatu yang baru. Ini kerana kita dicipta berdasarkan imej Tuhan"
~Great Teacher Tan~

Wednesday, July 25, 2012

Bahan Bantu Mengajar (BBM) dalam PSV?

"Saya demonstrasikan penghasilan poster di dalam kelas supaya murid-murid faham tentang cara penghasilan poster yang berkualiti"
~Great Teacher tan~
Poster "Ke Puncak Kegemilangan"

Bahan bantu mengajar merupakan alat ataupun media yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran seseorang guru bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan penyampaian isi pelajaran.

Bahan bantu mengajar dalam Pendidikan Seni Visual tidak lain tidak bukan ialah contoh karya seni yang bakal dihasilkan oleh murid-murid. Contoh karya seni ini bertujuan untuk memberikan gambaran dan idea kepada murid-murid bahawa "Beginilah rupa karya seni yang harus saya hasilkan".

Contoh karya seni ini memainkan peranan yang lebih penting lagi dalam seni menggambar. Contohnya menggambar sebuah poster bertemakan "kemerdekaan". Semua murid berupaya untuk menghasilkan poster yang bertemakan "kemerdekaan". Namun begitu, bukan semua murid mampu menghasilkan karya seni yang berkualiti (yang mempunyai elemen-elemen seperti ton warna, ruang, perspektif dan sebagainya).

Oleh yang demikian, sekiranya satu contoh karya seni yang mempunyai elemen-elemen ini ditunjukkan kepada murid-murid, sekurang-kurangnya mereka mengetahui dan memahami kepentingan elemen-elemen ini di dalam hasil karya mereka.
 Poster "Malaysia Boleh"

Adalah lebih baik lagi sekiranya guru boleh menunjukkan proses penghasilkan sesebuah karya seni yang berkualiti ini di dalam kelas PSV iaitu ketika murid-murid menghasilkan karya seni masing-masing. Pertama, murid-murid dapat melihat sendiri bagaimana guru menghasilkan sesuatu elemen (seperti ton warna, perspektif) di dalam karya seni yang dihasilkannya. Kedua, guru dapat menerangkan kepentingan sesuatu elemen (seperti ton warna, ruang, perspektif dan sebagainya dalam sesebuah karya seni).

Kesimpulannya, bahan bantu mengajar juga sama pentingnya di dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan seni Visual.

"Kalau diterangkan, murid kabur. Kalau ditunjukkan, murid tahu. Kalau didemonstrasikan, murid faham"
~Great Teacher Tan~

Thursday, July 19, 2012

Sambutan Bulan Kemerdekaan
Permainan Galah Panjang

Sempena bulan kemerdekaan, sekolah-sekolah sekitar Malaysia mengadakan sambutan bulan kemerdekaan. Pelbagai aktiviti menarik telah dirancang bagi memeriahkan sambutan kemerdekaan ini. Tujuannya hanyalah satu iaitu supaya murid-murid dapat menghayati dan merasai erti kemerdekaan. Namun begitu, setiap tahun aktiviti yang sama sahaja diadakan pada setiap tahun.

Oleh yang demikian, beberapa aktiviti lain boleh diadakan sempena bulan kemerdekaan. Antaranya ialah siaran kemerdekaan. Bagi sekolah-sekolah yang mempunyai alat siaraya yang lengkap, setiap pagi lagu patriotik boleh dimainkan dan perkongsian berkenaan tentang erti kemerdekaan boleh dibuat (seperti siaran radio). Dengan ini, disamping mendengar lagu-lagu patriotik, murid-murid juga secara tidak langsung dikongsikan dengan erti kemerdekaan.

Selain itu, aktiviti seperti permainan tradisional juga boleh diadakan. Murid-murid lebih mudah memahami erti kemerdekaan dan erti cintakan negara melalui permainan. Didapati murid-murid pada hari ini jarang didedahkan dengan permainan tradisional seperti galah panjang dan juga ketingting. Fenomena ini adalah disebabkan oleh arus modenisasi. Anak-anak sekarang tidak lagi mempunyai ruang untuk bermain di luar ketika masa lapang malah mereka juga enggan berbuat demikian kerana mereka sekarang lebih meminati permainan maya (iaitu permainan berkomputer).

Sekiranya, anak-anak sekarang tidak didedahkan dengan permainan tradisional, maka permainan ini suatu hari nanti akan lenyap mengikut peredaran zaman. Yang tinggal hanyalah catatan-catatan mengenai permainan tradisional, tetapi tidak dimainkan atau diaplikasikan. Oleh yang demikian, menjadi tugas dan tanggungjawab guru untuk mendedahkan anak-anak sekarang tentang permainan tradisional ini.

Contoh permainan tradisional

"Tugas guru bukan sekadar mengajar kandungan buku teks, tetapi merangkumi segala aspek kehidupan murid-murid"
~Great teacher Tan~

Menghasilkan Dadu (Pendidikan Seni Visual)

Bidang: Membentuk dan membuat
Tajuk: Dadu
Objektif:
  1. Menghasilkan dadu melalui teknik guntingan dan lipatan.
  2. Menghargai hasil kerja sendiri dan rakan
Aktiviti:
  1. Penerangan dan demonstrasi
  2. Murid-murid melukis dan menghasilkan dadu mengikut guru.
  3. Apresiasi seni

Hasil kerja murid-murid SK Bukit Rimau
 


"Tahniah diucapkan kepada murid-murid yang berjaya menghasilkan dadu yang baik dan berkualiti"

Tuesday, July 17, 2012

Lakonan (perbuatan yang menyalahi undang-undang)

Pendidikan Moral

Tajuk: Perbuatan menyalahi undang-undang

Penderaan Kanak-kanak
Sipnosis: Anak dipukul kerana mendapat keputusan yang kurang baik dalam peperiksaan. Kemudian, jiran sebelah yang nampak kejadian ini sempat menghalang bapa yang mendera anaknya itu.

Pemerdagangan Manusia
Sipnosis: Budak-budak diculik untuk diperdagangkan di luar negara (babak 1). Penculik-penculik tersebut berjaya diberkas oleh pihak berkuasa dan dijatuhkan hukuman (babak 2).

Mengedar dadah
Sipnosis: Urusan jual beli dadah dilaksanakan oleh seorang pembekal dengan 2 orang pembeli. urusan tersebut kemudiannya dikesan oleh pihak berkuasa...
Mencuri di kedai runcit
Sipnosis: Seorang murid cuba mencuri di kedai runcit. Kemudiannya ditangkap oleh seorang polis.

Ganguan Seksual
Sipnosis: Sekumpulan pemuda melakukan ganguan seksual terhadap seorang lelaki lembut yang lalu di sesuatu tempat.

Dilakonkan oleh: Murid-murid Tahun 6 Intelek dan 6 Maju

Thursday, July 5, 2012

Poster dalam Seni Visual

Poster merupakan satu bentuk seni komunikasi, pengumuman dan pemberitahuan. Ia berfungsi untuk menyampaikan sesuatu mesej melalui penggunaan illutrasi ataupun gambar.

Oleh yang demikian, illutrasi atau gambar yang dilukis haruslah sesuai dengan idea atau tajuk poster. Selain itu, gambar yang dilukis juga hendaklah memenuhi poster sekurang-kurangnya 70%.

Berikut merupakan beberapa contoh poster alam sekitar yang telah dihasilkan oleh murid-murid Tahun 5 SK Bukit Rimau.

Annur Husni Asyiqin

Cahaya ika Fatin

Muhd anfal fahmi

Shah nursyafiqah

Wan nurin qistina

 Muhammad Abdul Hadi


"Setiap murid mempunyai kreativiti dan idea masing-masing. Oleh yang demikian, mereka mempunyai cara penyampaian yang unik dan berbeza"
~Great Teacher Tan~

Wednesday, June 27, 2012

Sifir untuk kanak-kanak

"Guru berinovatif membantu satu kelas murid, guru berkongsi inovasi membantu beratus-ratus kelas murid"
~Great teacher Tan~
 

Ramai guru menghadapi masalah dalam mengajarkan sifir kepada murid-murid sekolah rendah terutamanya murid-murid tahun 4 yang baru sahaja terdedah dengan sifir.

Sering kali murid-murid dikehendaki  untuk menghafal sifir. Namun begitu, bukan semua murid dapat menghafal sifir tersebut dengan baik kerana daya ingatan setiap murid adalah berbeza.

Oleh yang demikian, guru-guru yang berinovatif menghasilkan pelbagai kaedah mengajar sifir bagi membantu murid-murid yang pelbagai kecerdasan dan latar belakang ini.

Kaedah E-sifir di atas bukanlah dihasilkan oleh saya sendiri tetapi dijumpai ketika melayari Facebook. Oleh yang demikian, saya bercadang untuk mengkongsikan kaedah ini dengan guru-guru sekalian.

Diharap perkongsian ini mampu meningkatkan lagi kualiti pendidikan di negara kita... Sekian... ~GTT~

Thursday, June 21, 2012

Pendidikan Seni Visual tahun 6



Bidang: Kraf Tradisional
Tajuk: Labu Sayong
Bahan: Plastisin
Objektif:
  1. Menghasilkan labu sayong melalui kaedah picitan.
  2. menghargai hasi kerja sendiri dan rakan.
Aktiviti:
  1. Penerangan dan demonstrasi
  2. Menghasilkan labu sayong
  3. Apresiasi seni

Hasil kerja Murid-murid tahun 6 Usaha SK Bukit Rimau
Karya Seni 6 Usaha 

 Karya yang pelbagai dan kreatif


"Warisan budaya Malaysia merupakan identiti kita semua, guru berperanan untuk menyampaikannya kepada murid-murid"
~Great teacher tan~

Tuesday, June 19, 2012

Plak Hiasan Dinding

PENDIDIKAN SENI VISUAL TAHUN 6

Bidang: Membentuk dan Membuat Binaan
Tajuk: Hiasan dinding
Bahan
  1. Penyepit baju (kayu
  2. Gam Uhu/ double tape
  3. Kadboard/ kotak
  4. Gunting
  5. Gambar (digunting daripada majalah dll)
Objektif:
  1. Menghasilkan plak hiasan dinding melalui teknik tampalan
  2. Menghargai hasil kerja sendiri dan rakan. 
Aktiviti
  1. Penerangan dan demontrasi oleh guru
  2. Murid-murid menghasilkan hiasan dinding.
  3. Apresiasi seni

Cara menghasilkan Plak Hiasan Dinding.
  1. Gunting kadboard/kotak mengikut bentuk bulatan
  2. Gunting gambar kepada bentuk bulatan
  3. kemudian gamkan gambar itu di tengah-tengah kotak tersebut.
  4. Akhirnya gamkan penyepit baju itu di sekitar bulatan itu sebagai perhiasan.

Hasil Kerja Murid-murid Tahun 6 Azam SK Bukit Rimau

 



Aniq Hafi

Anis Nablah

Kesvinrao



"Kreativiti bukanlah sesuatu yang diwarisi secara semula jadi, tetapi dipelajari daripada pengalaman yang pelbagai"

~Great Teacher Tan~

Saturday, June 2, 2012

Kualiti demonstrasi Guru Pendidikan Jasmani

"Cikgu jelaskan, saya tahu. Cikgu ajarkan, saya faham. Cikgu demonstrasikan, saya dapat buat"
~Great Teacher Tan~

Semua guru Pendidikan Jasmani setuju bahawa demonstrasi membawa jutaan perkataan. Sesuatu kemahiran yang begitu sukar dijelaskan melalui kata-kata dapat difahami dengan mudah melalui demonstrasi.

Walau bagaimanapun, sejauh manakah seseorang guru itu  dapat mendemonstrasikan sesuatu kemahiran yang diajarkan dengan baik adalah bergantung kepada beberapa faktor seperti rajah 1 di bawah.
Rajah 1: Faktor-faktor yang mempengaruhi demonstrasi guru

Pertama, faktor pengetahuan. Faktor pengetahuan merupakan faktor yang paling asas yang membolehkan seseorang guru mendemonstrasikan sesuatu kemahiran. Misalnya, Cikgu X tidak pernah terdedah dengan permainan bola ping pong, maka mustahil bagi beliau untuk mendemonstrasikan cara memegang bet, apatah lagi teknik servis, smesy dan sebagainya.

Kedua, faktor kemahiran. Faktor kemahiran ini merujuk kepada kemahiran sedia ada seseorang guru dalam sesuatu permainan, sukan dan sebagainya. kemahiran adalah terbentuk daripada jutaan pengalaman seseorang terhadap pengawalan psikomotornya. Contohnya, seseorang pemain bola sepak dapat menimbang bola dengan baik setelah berlatih untuk suatu tempoh masa yang lama di mana pengalaman-pengalaman menimbang bola yang diperolehinya semasa latihan dalam tempoh masa tersebut telah menjadi kemahiran kepadanya.

Ketiga, faktor fizikal. Faktor fizikal ini meliputi kesihatan dan fisiologi seseoran itu. Sekiranya seseorang guru itu demam dan kurang sihat, sudah tentunya dia akan berasa lemah dan tidak dapat melakukan demonstrasi dengan baik. Walau bagaimanapun, faktor kesihatan adalah sesuatu yang di luar kawalan kita.

Di sini, saya akan membincangkan tentang fisiologi. Ramai guru dahulunya merupakan atlet atau ahli sukan yang aktif dalam sukan. Namun begitu, tidak ramai yang sedar tentang kepentingan untuk mengekalkan keupayaan fisiologi supaya dapat memberikan pendidikan yang lebih berkualiti kepada murid-murid. Hasilnya, ramai guru yang mula menambah berat badan dan menyebabkan keupayaan fisiologi mereka berkurang. Ini menyebabkan guru-guru ini tidak mampu memberikan bimbingan yang berkualiti kepada atlet-atlet muda kita.

Oleh yang demikian, sebagai guru Pendidikan jasmani yang mementingkan kualiti pendidikan yang diterima oleh anak murid kita, kita haruslah sentiasa bersukan dan "keep fit" agar kita sentiasa bersedia untuk memberikan pendidikan yang terbaik kepada murid-murid kita.

Rajah 1: Let's keep fit

"Guru itu sendiri merupakan aset penting dalam Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Jasmani"
~Great Teacher Tan~

Monday, May 28, 2012

Musical Chairs dalam P&P

"If you give me a fish, I can eat for one meal. If you teach me how to fish, I can eat for my whole live"

Gambarajah 1: Musical Chairs

Pendidikan pada hari ini telah bertukar arah daripada berpusatkan guru kepada berpusatkan murid. Ini adalah supaya murid-murid dapat meneroka dan menimba ilmu sendiri dengan bimbingan guru.

Oleh yang demikian, sebagai pembimbing/ fasilitator yang berkesan, guru-guru berperanan untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang menyeronokan agar murid-murid dapat menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam persekitaran yang kondusif (di mana kecerdasan emosi juga dikembangkan).

"Musical Chairs" merupakan satu aktiviti/ permainan yang sering dijalankan semasa majlis hari jadi murid-murid dan sebagainya. Namun begitu, "Musical Chairs" juga boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran. Contohnya seperti Rancangan Pengajaran dan Pembelajaran di bawah.

Tema: Diri dan keluarga
Tajuk: Kasih Sayang Terhadap keluarga
Objektif: Pada akhir P&P ini murid-murid dapat:
  1. Menyatakan kepentingan kasih sayang dalam keluarga
  2. Menyatakan aktiviti-aktiviti yang boleh dilaksanakan dalam memupuk kasih sayang.
Aktiviti:
  1. Perbincangan
  2. Muzikal Chairs
  3.  Soal jawab
 
 Cara Perlaksanaan "Musical Chairs"
  1. Sebilangan kerusi disusun dalam bentuk bulatan (dengan setiap kerusi menghadap ke luar bulatan).
  2. Bilangan kerusi= bilangan pemain - 2.
  3. Murid-murid berdiri mengelilingi bulatan kerusi yang telah disusun.
  4. Murid-murid bergerak mengikut arah jam apabila muzik dimainkan.
  5. Apabila muzik diberhentikan mereka perlu duduk di atas kerusi tersebut dan 2 orang murid yang tidak dapat duduk dikehendaki untuk mengucapkan "I Love You" kepada satu sama lain.
  6. Langkah 4 dan 5 diulangi untuk beberapa pusingan (tanpa sesiapa disingkirkan).
  7. Untuk menghangatkan permainan, pusingan penyingkiran dimulakan di mana setiap murid yang tidak dapat duduk di atas kerusi semasa muzik diberhentikan akan disingkirkan.
  8. Sekiranya terdapat murid disingkirkan, sekurang-kurangnya 1 kerusi perlu dikeluarkan.
  9. Langkah 7 dan 8 diulangi sehingga johan dikenalpasti.

*Permainan ini amat menyeronokan apabila 2 orang murid yang berlainan jantina terpaksa mengucapkan "I Love You". Mereka menunjukkan perasaan segan dan malu serta gelagat yang melucukan. (Perhatian: Guru hendaklah menjelaskan maksud "LOVE" kepada murid-murid semasa membuat kesimpulan untuk mengelakkan salah faham daripada permainan itu).

*Permainan ini juga sesuai diaplikasikan dalam mata pelajaran lain seperti Bahasa Melayu, Kajian Tempatan dan sebagainya bergantung kepada kesesuaian tajuk yang diajar.


"Semasa aktiviti "Musical Chairs", saya juga turut serta bermain permainan ini bersama-sama dengan murid-murid dan saya dapati hubungan kami menjadi rapat"
~Great Teacher Tan~

Friday, May 25, 2012

Tiada masa melaksanakan penyelidikan tindakan?

"penyelidikan tindakan pada asalnya memang terlaksana secara tidak langsung dalam sesi P&P harian kita tanpa disedari"
 
 
Beban tugas yang berat sering menjadi alasan kepada guru-guru untuk tidak melaksanakan penyelidikan tindakan. Walaupun memang tidak dapat dinafikan bahawa guru-guru pada hari ini mempunyai tugas-tugas dan tanggungjawab lain selain daripada mengajar seperti penganjuran hari sukan, kelas tambahan di sekolah dan sebagainya.
 
Namun begitu, pada pendapat saya, penyelidikan tindakan bukanlah sesuatu yang membebankan malah penyelidikan tindakan tidak akan menambahkan beban kita yang sedia ada. Ini kerana penyelidikan tindakan pada asalnya memang terlaksana secara tidak langsung dalam sesi P&P harian kita tanpa disedari.
 
Setiap hari kita mengajar murid-murid yang mempunyai pelbagai karenah dengan potensi dan keistimewaan masing-masing. Oleh itu, kita sudah tentu akan menghadapi halangan dan masalah dalam memenuhi keperluan kognitif, emosi, jasmani dan rohani setiap orang murid di dalam kelas tertentu. (Tinjauan awal)
 
Model Penyelidikan Tindakan Stephen Kemmis
 
Apabila wujudnya masalah, secara tidak langsung, kita sebagai guru yang prihatin terhadap perkembangan murid-murid akan mula merancang kaedah-kaedah yang sesuai bagi mengatasi masalah yang dihadapi. (Peringkat Perancangan)

Kemudian, kita akan mula melaksanakan kaedah-kaedah yang dirancang itu bagi mengatasi masalah yang dihadapi. (Peringkat perlaksanaan) Pada masa yang sama kita juga akan memerhatikan gerak-geri dan respon murid-murid terhadap kaedah tersebut (Peringkat pemerhatian) bagi membantu kita menilai keberkesanan kaedah tersebut dalam mengatasi sesuatu masalah yang dihadapi dalam P&P.

Sekiranya kaedah itu didapati kurang sesuai atau tidak berkesan, kita akan merancang kaedah lain yang lebih sesuai. (Peringkat Penilaian) Kaedah ini akan dilaksanakan dan dinilai semula sehinggalah masalah itu berjaya diselesaikan.

Daripada contoh itu tadi, kita dapat lihat bahawa sebenarnya kita sebagai guru sering melaksanakan penyelidikan tindakan di dalam amalan P&P harian kita tanpa kita sedari, hanya amalan tersebut tidak didokumentasikan sebagai "Laporan Penyelidikan Tindakan".

Oleh yang demikian, sebenarnya kita tidak perlu meluangkan banyak masa dalam melaksanakan penyelidikan tindakan. Kita hanya perlu meluangkan sedikit masa iaitu sebanyak kira-kira 30minit sehari dalam menulis dan mendokumentasikan amalan P&P harian kita secara lebih formal sebagai "Laporan Penyelidikan Tindakan"
 
Apa tunggu lagi, guru-guru muda DG41 yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perguruan? Marilah kita sama-sama melaksanakan Penyelidikan Tindakan untuk meningkatkan lagi kualiti pengajaran dan pembelajaran kita di dalam kelas dan seterusnya meningkatkan lagi kualiti pendidikan di negara kita.

"Guru memperbaiki amalan pengajaran dan pembelajarannya melalui Penyelidikan Tindakan"